Selasa, 2 Oktober 2007

Penerima Zakat Ceria

Utusan Malaysia, 2 Okt 2007

Islamic Outreach ceriakan 70 penerima zakat

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

Seramai 70 orang yang terdiri daripada saudara baru, fakir miskin, warga tua, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) diraikan dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Islamic Outreach dan Masjid Negara dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Zakat di Masjid Negara, minggu lalu.

Majlis tahunan tersebut yang diadakan di Masjid Negara itu dihadiri oleh Naib Presiden ABIM, Azril Mohd. Amin dan Imam Masjid Negara, Ishak Ali.

Azril berkata, majlis itu diadakan bagi merapatkan ukhwah dan persaudaraan sesama saudara seagama, di samping menghulurkan bantuan kepada golongan tersebut bagi meringankan beban untuk menyambut Aidilfitri.

“Program ini bukan sahaja untuk memberi sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik malahan ia juga mampu merapatkan silaturahim sesama saudara seagama.

“Malah aktiviti ini akan terus diadakan selain dari mengadakan aktiviti-aktiviti lain bagi membangunkan umat Islam di negara ini,” katanya dalam ucapannya pada majlis tersebut.

Ketika ditemui Azril berkata, ABIM di bawah Islamic Outreach diamanahkan mengadakan program ini bagi tujuan membantu golongan tersebut.

Malah katanya, aktiviti tersebut merupakan salah satu daripada pengisian aktiviti pertubuhan tersebut sepanjang bulan Ramadan.

Ditanya mengenai aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang bulan Ramadan oleh ABIM, Azril berkata pihaknya sedang mengatur pelbagai aktiviti untuk dilaksanakan.

“Kita akan melaksanakan beberapa aktiviti bagi tujuan pengisian bulan Ramadan pada tahun ini.

“Antaranya ialah majlis berbuka puasa dengan Orang Asli di beberapa tempat dan juga sumbangan sempena Aidilfitri,” ujarnya.

Majlis berbuka puasa itu dimulakan dengan tazkirah pada pukul 6 petang dan disusuli dengan penyampaian zakat kepada 100 penerima oleh Imam Masjid Negara, Ishak Ali dan acara tersebut diteruskan dengan majlis berbuka puasa.

Majlis diteruskan dengan solat maghrib dan makan malam sebelum diakhiri solat isyak dan tarawih berjemaah.

Tambah Azril lagi program ini akan diteruskan pada masa-masa yang akan datang agar golongan tersebut akan terus terbela di samping meringankan beban yang ditanggung mereka.

Menurutnya lagi, setiap penerima akan menerima bantuan berupa makanan dan wang tunai sebanyak RM100 setiap seorang kepada 100 penerima.

Tiada ulasan: